Kadar Bayaran Harga Denda Hilang IC/ MyKad. Panduan buat anda yang mengalami kehilangan Kad Pengenalan atau My Kad. Mungkin ramai di antara kita yang masih tidak mengetahui tentang maklumat bayaran harga serta garis panduan yang betul untuk membuat permohonan menggantikan kad pengenalan iaitu MyKad yang hilang. Berikut dikongsikan maklumat berkaitan Harga Denda Hilang IC MyKad .
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah memberikan maklumat berkenaan secara terperinci yang harus diikuti oleh semua rakyat Malaysia. Ingat, IC adalah satu pengenalan diri yang sangat penting buat semua dan jangan hilangkannya dengan sewenang-wenangnya.
Kadar Harga Denda Hilang IC MyKad (Bayaran)
Jabata Pendaftaran Negara (JPN) telah menetapkan kadar bayaran denda yang akan dikenakan kepada individu warganegara Malaysia yang kehilangan MyKad atas kecuaian sendiri.
Bayaran bagi kehilangan kes kecuaian sendiri buat kali pertama adalah pada kadar seratus ringgit (RM 100). Manakala kehilangan pada kali kedua adalah tiga ratus ringgit (RM 300). Dan bagi kehilangan buat kali ketiga dan seterusnya dikenakan seribu ringgit (RM 1,000).
Bagaimanapun, pengecualian kadar bayaran diberikan kepada golongan berikut:
- Orang Kurang Upaya (OKU)
- Fakir miskin
- Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas
- Mangsa bencana
- Kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut.
- Remaja warganegara Malaysia berusia bawah 18 tahun
Syarat Permohonan Penggantian MyKad Hilang
- Pemohon mestilah hadir dimana-mana kaunter JPN; atau
- Memohon gantian kad pengenalan hilang secara atas talian di laman web (www.jpn.gov.my) melalui aplikasi “Sistem Gantian MyKad” bagi permohonan yang tidak melibatkan pertukaran gambar atau maklumat pemohon yang bertaraf Warganegara.
Prosedur Permohonan
- Pemohon perlu hadir ke mana-mana pejabat JPN yang berhampiran untuk permohonan gantian hilang kad pengenalan.
- Perlu mengemukakan laporan polis sama ada bagi kes kehilangan kad pengenalan akibat jenayah ataupun akibat kecuaian. Laporan polis perlu menyatakan dengan jelas butir-butir kejadian serta menyebut butir-butir Kad Pengenalan yang hilang.
Dokumen Sokongan (Asal dan Salinan)
- Surat pengesahan atau Kad Kebajikan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Surat pengesahan dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli atau Penghulu atau Ketua Kampung atau Ketua Kaum atau Pejabat Daerah atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung [bagi orang-orang miskin atau daif atau orang-orang kurang upaya (OKU)]; atau
- Surat pengesahan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jabatan Bomba dan Penyelamat atau Penghulu atau Ketua Kampung atau Ketua Kaum atau Pejabat Daerah atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung [bagi orang-orang yang ditimpa bencana alam]; atau
- Bagi kehilangan Kad Pengenalan yang disebabkan kes rompakan, samun, kecurian, malapetaka dan seumpamanya,laporan polis perlu disertakan yang menyatakan dengan jelas mengenai butir-butir kejadian dan Kad Pengenalan yang hilang.
Bayaran/Fi
Makluman: Bagi permohonan melalui aplikasi “Sistem Gantian MyKad” di portal JPN bayaran hanya menggunakan kad kredit sahaja.
Warganegara
Bayaran Hilang bagi MyKad atau MyTentera Sahaja.
Jadual Pembayaran 4A
Kehilangan | Bayaran Permohonan (RM) | Bayaran Proses (RM) | Jumlah Bayaran (RM) |
Kali Pertama | 10 | 100 | 110 |
Kali Kedua | 10 | 300 | 310 |
Kali Ketiga dan seterusnya | 10 | 1,000.00 | 1,010.00 |
Bukan Warganegara
Bayaran Hilang bagi MyPR atau MyKAS sahaja.
Jadual Pembayaran 4B
Kehilangan | Bayaran Permohonan (RM) | Bayaran Proses (RM) | Jumlah Bayaran (RM) |
Kali Pertama | 40 | 100 | 140 |
Kali Kedua | 40 | 300 | 340 |
Kali Ketiga dan seterusnya | 40 | 1,000.00 | 1,040.00 |
Semoga perkongsian maklumat Harga Denda Hilang IC MyKad (Bayaran) dapat membantu memudahkan urusan anda. Selamat berjaya.